Kenyataan Akhbar: Persidangan Tahunan Kecemerlangan Pengurusan Modal Insan Ke-3
Modal insan merupakan pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara dan menjadi teras kepada inovasi dan ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif. Bagi mengungguli modal insan, mencerna kreativiti dan mencetus inovasi, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Inovasi merupakan satu kelebihan daya saing yang kukuh dan mampan. Ianya sering dilihat sebagai tanggungjawab unit perniagaan (business unit) sesebuah badan organisasi korporat. Inovasi bermula daripada pemikiran kreatif modal insan yang bekerja dalam persekitaran yang menggalakkan inovasi. Menarik, mengekal dan melatih modal insan berinovatif adalah amat penting bagi membolehkan sesebuah organisasi itu menyerlah dalam dunia persaingan dalam jangka masa panjang. Bahagian pengurusan modal insan adalah unit yang akan memberikan impak yang paling besar dalam menerajui arus pembangunan ini.
Dengan tujuan mengupas isu-isu dan cabaran-cabaran semasa dalam aspek pengurusan pembangunan modal insan, Persidangan Tahunan Kecemerlangan Pengurusan Modal Insan Ke-3 dianjurkan oleh Comfori Sdn. Bhd. di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 14 & 15 Mac 2012. Persidangan ini yang dihadiri oleh lebih kurang 85 delegasi terdiri daripada pemimpin-pemimpin dari bidang pembangunan sumber manusia di Malaysia, telah dirasmikan oleh YBhg. Dato Haji Mohd Sharif Hussin, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan diiringi oleh Encik C.M. Vignaesvaran a/l Jeyandran, Pengurus Besar, Pembangunan Sumber Manusia Berhad.
Persidangan dua hari ini telah mendedahkan delegasi kepada isu-isu seperti strategi penyelesaian kreatif dalam pengurusan modal insan, penerapan inovasi dalam pengurusan ke arah transformasi dan pembentukan acuan pengurusan korporat organisasi yang lestari. Di samping itu, persidangan ini turut memfokuskan aspek sistem, metodologi dan model pengurusan yang berkesan, pembentukan dan pembangunan modal insan dan bakat berkepakaran dan lain-lain isu yang berkaitan.
Persidangan ini dibarisi oleh panel speaker jemputan yang sangat dinamik dari pelbagai industri, iaitu:
1. Dato’ Dr Ismail Alias, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
2. Dr. Michael Heah, Ketua Pegawai Eksekutif, Corporate Coach
3. Tuan Haji Ab Razak bin Omar, Pengarah, Business Excellence, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
4. Nor’Aini Jalaludin, Head, Leadership and Capability Development, Petronas
5. Nor Ayuhan Abd Majid, Talent Development, Tenaga Nasional Berhad (TNB)
6. Dr. Balan Dass, Timbalan Presiden, Malaysian Institute of Human Resource Management (MIHRM)
7. Mohd Hanif Hamdi, Ketua Eksekutif, HR System & Consultancy (HRSC)
Di samping itu, kehadiran Bizzy Body, Worthy Book, dan Earth Again sebagai penaja dapat memeriahkan lagi majlis persidangan ini. Selain itu, persidangan ini turut mendapat sokongan daripada HR Matters sebagai rakan media rasmi untuk persidangan ini.
Tanpa sokongan daripada semua pihak, Persidangan Tahunan Kecemerlangan Pengurusan Modal Insan yang dianjurkan untuk kali ketiga ini tidak akan berjalan dengan lancar. Pihak penganjur merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama untuk menjayakan persidangan ini. Besarlah harapan pihak penganjur agar persidangan ini akan dapat diteruskan sekali lagi di tahun hadapan. Sekiranya terdapat apa-apa pertanyaan, sila hubungi Huey Ying di hueyying.leong@comfori.com.
0 comments:
Post a Comment